Pengertian Bank Syariah – Nurul Farhan Osman

Pengertian Bank Syariah

Apabila kita menyebut berkenaan pengertian Bank Syariah sudah pasti terlintas di benak fikiran kita bahawa secara umumnya ia merupakan sebuah institusi atau organisasi perbankan yang mana transaksi dan urusniaganya adalah berpaksikan kepada prinsip Syariah.

Oleh itu, tiga prinsip utama yang menjadi tunjang muamalat maliyah yang digariskan dalam Islam adalah ia haruslah bebas daripada sebarang elemen riba, gharar dan maysir.

Pengertian Riba

Riba bermaksud penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan matawang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti yang berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran.

Dalam konteks ini Allah s.w.t berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 130 yang berbunyi.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَأْكُلُواْ الرِّبَا أَضْعَافاً مُّضَاعَفَةً وَاتَّقُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba secara berlipat kali ganda dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu beroleh keberuntungan/kejayaan.

Pengertian Gharar

Gharar pula merujuk kepada kesamaran yang berlaku dalam sesuatu akad yang dijalankan atau penipuan serta tidak mengetahui akan kandungan sesuatu akad yang mana di dalam akad tersebut wujud unsur-unsur yang dihitung tanpa pengetahuan atau kerelaan pihak yang berakad.

Pengertian Maysir

Maysir pula merupakan.. bermaksud memperolehi sesuatu dengan mudah atau memperolehi keuntungan tanpa usaha. Islam melarang semua bentuk urusniaga di mana keuntungan kewangan diperolehi hanya berdasarkan kepada nasib dan spekulasi dan bukannya dengan usaha gigih untuk mendapatkannya.

Dalam isu ini Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 90 yang berbunyi:

إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Sesungguhnya meminum arak, maysir berjudi, ansob iaitu berkorban untuk berhala, azlam iaitu menghitung nasib menggunakan panah, merupakan perbuatan-perbuatan yang termasuk dalam perbuatan syaitan. Maka Allah memerintahkan manusia untuk menjauhinya agar kita beroleh keberuntungan.

Prinsip bank Syariah

Bank syariah

Produk dan perkhidmatan perbankan syariah tersebut harus menggunakan prinsip Syariah yang ditetapkan bagi mualamat maliyah seperti antara contohnya Mudharabah, Musyarakah, Wadi’ah, Murabahah, Salam, Wakalah dan lain-lain lagi.

Selain itu, bagi memastikan keutuhan patuh Syariah bagi sesebuah Bank, penubuhan Lembaga pengawasan dan kepenasihatan Syariah adalah amat penting bagi memastikan proses menasihati, memantau, mengawasi tadbir urus dan pengurusan sesebuah bank dapat dijalankan dengan baik.

Penubuhan Lembaga tersebut adalah tidak lain tidak bukan bertujuan untuk memastikan pematuhan Syariah dapat dilaksanakan dengan mapan dan sewajarnya. Adalah menjadi suatu kemestian bagi sesebuah institusi bank Syariah untuk menubuhkan Lembaga Pengawasan Syariah yang terdiri daripada ahli jawatan kuasa Syariah serta kakitangan yang mempunyai kompetensi, reputasi dan kepakaran dalam bidang Syariah dan kemahiran tertentu sebelum ia dapat diiktiraf sebagai sebuah bank Syariah yang sebenar.

Matlamat utama bank Syariah

Selain daripada merealisasikan matlamat kewangan bagi menjana keuntungan melalui transaksi yang dijalankan, Bank Syariah juga haruslah berupaya untuk melestarikan kemaslahatan dan kesejahteraan umat sejagat melalui pelaksanaan produk dan perkhidmatannya kepada para pelanggan.

Ia berfungsi sebagai landasan untuk memahami pelbagai transaksi yang dilarang dalam agama Islam yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi antara individu.

Sistem perbankan Syariah yang mana perlaksanaannya adalah berlandaskan kepada syariah iaitu hukum Islam, haruslah menonjolkan aspek keadilan dan kejujuran dalam bertransaksi, dan selain itu haruslah juga menonjolkan pelaburan yang beretika, mengetengahkan nilai-nilai kebersamaan dan persaudaraan dalam setiap produk dan perkhidmatan serta menghindari kegiatan spekulatif daripada pelbagai transaksi kewangan.

Lebih utama lagi, manfaatnya akan dinikmati tidak hanya oleh umat Islam saja, tetapi dapat membawa kesejahteraan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Syariah sama sekali tidak pernah menutup jalan atau menghalang manusia untuk memperoleh keuntungan duniawi yang bersifat material, akan tetapi Islam meraikan keperluan tersebut melalui cara dan kaedah yang seimbang dan saksama bagi memelihara kesejahteraan setiap insan.

Leave a Comment